Setiap daripada kita tentu tidak mahu sekiranya apa yang kita
amalkan dari setiap amal-amal kita sehari-hari menjadi sia-sia dan tidak
diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sedangkan kita telah berusaha
bersungguh-sungguh dan menghabiskan segenap qudrat untuk melakukan dengan
sebaik-baiknya.
Tidakkah kita bimbang menjadi orang-orang yang sia-sia amalannya
lalu menjadilah kita orang-orang yang RUGI di akhirat kelak? Allah Subhanahu wa
Ta’ala berfirman:
قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالأخْسَرِينَ أَعْمَالا
الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ
يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا
“Katakanlah (wahai Muhammad), “Adakah perlu kami beritahu kepadamu
tentang orang yang paling rugi amalannya?” Iaitu orang-orang yang sia-sia
perbuatannya dalam kehidupan dunia sedangkan mereka beranggapan telah melakukan
yang sebaik-baiknya.” [Surah al-Kahfi, ayat 103-104]
Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (meninggal:774H), “Ayat ini
bersifat umum mencakupi setiap orang yang beribadah kepada Allah tetapi tidak
menggunakan cara yang diredhai-Nya. Mereka beranggapan apa yang dilakukannya
telah benar dan amal perbuatannya akan diterima, tetapi rupanya sangkaan mereka
meleset dan amalnya pun ditolak.”
Firman Allah, “... orang-orang yang sia-sia perbuatannya dalam
kehidupan dunia...” Maksudnya, mengerjakan amal yang bathil yang tidak
bersesuaian dengan syari’at yang telah ditetapkan dan diredhai serta diterima.
Firman Allah, “... sedangkan mereka beranggapan telah melakukan
yang sebaik-baiknya.” Maksudnya, mereka menyangka bahawa mereka akan mendapat
suatu manfaat dan mereka menyangka mereka adalah orang-orang yang diterima amalnya
dan dicintai oleh Allah.” [Tafsir Ibnu Katsir, 5/202]
Pada hari ini ramai dari kalangan kita berlumba-lumba untuk beramal
ibadah dengan semaksima yang mungkin. Ini adalah sebahagian dari bentuk-bentuk
amal usaha mengabdikan diri kepada Allah, Tuhan yang Maha Esa yang kepada-Nya
sahaja kita beribadah. Supaya dengan amal-amal tersebut dapat membantu kita
untuk meraih keredhaan dan rahmat dari-Nya.
Umumnya, ia adalah sikap yang sangat positif dan perlu dipandang
baik. Di saat banyaknya kelompok manusia yang mengabaikan amal-amal ibadah sama
ada yang wajib, fardhu, atau sunnah, sikap sebahagian umat Islam lainnya yang
berlumba-lumba dalam beramal kebaikan adalah wajar diikuti dan dicontohi.
Namun, dalam keghairahan kita beramal dan beribadah, adakalanya
kita mungkin terlupa beberapa aspek utama yang menjadi tunjang diterimanya
sesuatu amalan tersebut.
PENGERTIAN IBADAH
Ibadah kepada Allah Ta’ala adalah segala sesuatu yang apabila kita
melaksanakannya atau meninggalkannya ia akan dicintai dan diredhai oleh Allah
Subhanahu wa Ta’ala.
Setiap amal ibadah diikat dengan beberapa syarat. Setiap amal
ibadah perlu dilaksanakan dengan dalil, iaitu mengikuti sunnah. Amal ibadah
tidak boleh direka mahupun diada-adakan.
Para ulama menyatakan bahawa:
التقرير فى العبادة إنما يؤخذ عن توقيف
“Penetapan dalam ibadah adalah dengan mengambil dari apa yang telah
ditetapkan (oleh dalil).” [Ibnu Hajar al-'Asqalani, Fathul Bari Syarah Shahih
al-Bukhari, 2/80]
Kemudian, setiap amal hendaklah dilaksanakan dengan IKHLAS
semata-mata kerana Allah dengan tidak mensyirikkan-Nya. Syarat dan kriteria
asas inilah yang bakal menentukan sama ada amal-amal kita diterima oleh Allah
ataupun tidak.
MENGIKUTI SUNNAH
Suatu perkara yang amat penting adalah melakukan amal ibadah itu
dengan berpandukan al-Qur’an dan as-Sunnah. Tidaklah diterima suatu amalan jika
tidak terdapat contohnya (atau saranannya) dari al-Qur’an dan as-Sunnah. Maka,
jika sesuatu amalan yang dilakukan itu tidak terdapat saranannya dari dua
sumber tersebut, maka ianya bukanlah dari Islam walaupun ia diniatkan kerana
Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ
اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
“Katakanlah (wahai Muhammad kepada mereka), “Jika kamu
(benar-benar) mencintai Allah ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan
mengampuni dosa-dosamu.”.” [Surah Ali ‘Imran, ayat 31]
Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (meninggal: 774H) menjelaskan
melalui tafsirnya:
“Ayat yang mulia ini menghukumi setiap mereka yang mengaku
mencintai Allah tetapi mereka tidak mengikuti petunjuk Muhammad Shallallahu
‘alahi wa Sallam. Maka jelaslah pengakuannya itu hanya suatu pendustaan,
sehinggalah mereka mengikuti syari’at
Muhammad dan agama nabawi di dalam setiap ucapan dan perbuatannya. Ini adalah
sebagaimana yang terdapat dalam kitab Shahih daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi
wa Sallam (katanya), “Sesiapa yang melakukan suatu amal yang tidak ada
perintahnya daripada kami, maka amalan tersebut tertolak (tidak diterima).”
(Hadis Riwayat Muslim).” [Tafsir Ibnu Katsir, 2/32]
Dalam ayat yang lain, Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan:
فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلا
يَضِلُّ وَلا يَشْقَى
“Jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku, maka sesiapa yang
mengikut petunjuk-Ku itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia tidak akan menderita
(dengan azab sengsara).” [Surah Thoha, ayat 123]
Dalam usaha mengikuti sunnah ini, tidak dapat tidak seseorang itu
perlu terlebih dahulu mempelajari sunnah itu sendiri. Maka, dari sinilah
pentingnya aspek ILMU. Supaya apabila kita berilmu, kita akan dapat mengenal
pasti apa yang sunnah dan apa yang bukan.
Tidaklah nanti kita hanya bersangka-sangka sahaja bahawa suatu
amalan itu sunnah dan mendatangkan kebaikan, tetapi rupanya tidak. Dengan
ilmulah kita mampu mengenal pasti sumber-sumber yang betul dalam mengambil
sunnah dan agama ini, mengetahui sesuatu hadis itu sahih atau pun tidak,
memahami maksud suatu hadis, memahami tafsir ayat-ayat al-Qur’an, dan
seumpamanya.
IKHLAS dan TIDAK SYIRIK
Setiap amal ibadah yang hendak dilaksanakan mestilah di atas
landasan aqidah Islam yang suci murni dari segala bentuk kesyirikan serta
ikhlas semata-mata kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala. Setiap amal yang dilakukan
di luar ruang lingkup aqidah Islam dan keikhlasan yang tulus, maka ia akan
menjadi sia-sia.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ
أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepada engkau (Wahai Muhammad)
dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripada engkau: “Demi sesungguhnya,
sekiranya engkau (dan pengikut-pengikutmu) berbuat syirik, sudah tentu segala
amalanmu akan terhapus, dan engkau akan tetap menjadi orang-orang yang rugi.”.”
[Surah az-Zumar, ayat 65]
وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
“Dan sekiranya mereka mensyirikan Allah, nescaya gugurlah dari
mereka apa yang telah mereka lakukan (dari amal-amal yang baik).” [Surah
al-An’am, ayat 88]
Oleh itu, bagi kita yang memiliki semangat dan keghairahan dalam
beramal hendaklah memberi perhatian dan penekanan dalam dua aspek utama ini. Di
samping berusaha bersungguh-sungguh mengikuti sunnah, dia juga perlu
bersungguh-sungguh menjaga kemurniaan aqidahnya dengan menjauhi segala bentuk
syirik kepada Allah.
Jangan nanti beramal separuh mati, tetapi dalam hatinya bercampur
dengan RIYAK, aqidahnya bergelumang pula dengan kepercayaan-kepercayaan SYIRIK
seperti mempertikaikan takdir, mempercayai ramalan bintang (horoskop), terlibat
dalam perbomohan, pertangkalan, dan pelbagai bentuk BID’AH dan khurafat.
Takut-takut kita menyangka telah berbuat sebaik-baiknya, tetapi rupanya sia-sia
belaka.
Wallahu a’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.